KUALA TERENGGANU: Lembaga Tabung Haji (TH) disaran memperkenalkan semula kuota khas haji untuk golongan fakir miskin dan mualaf seperti dilaksanakan selama tujuh tahun bermula tahun 2011 lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan TH berhubung kuota khas itu bagi membolehkan golongan fakir miskin dan mualaf menunaikan rukun Islam kelima.
Katanya, MAIDAM bersedia untuk membiayai kos menunaikan rukun Islam kelima kepada golongan tersebut sekiranya TH bersetuju memperkenalkan semula kuota haji khas tersebut.
“TH pernah melaksanakan kuota khas haji itu selama tujuh tahun bermula tahun 2011 dan diharapkan ia diperkenalkan semula selepas ini.
“MAIDAM memperkenalkan beberapa ketetapan kepada golongan fakir dan miskin serta mualaf, termasuk berusia 50 tahun ke atas, sihat tubuh badan serta fasih membaca Quran untuk berpeluang menunaikan ibadat haji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis anugerah insentif pakej menunaikan umrah peserta tilawah, hafazan Al-Quran, azan dan kuiz saudara kita, di Dewan Kompleks Darul Hidayah, di sini, semalam.
Seramai 11 golongan mualaf yang menjuarai pelbagai kategori termasuk johan tilawah, hafazan Al-Quran, azan dan kuiz saudara kita dipilih menunaikan umrah.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, tajaan penghantaran fakir miskin serta golongan mualaf menunaikan fardu haji hanya boleh dilakukan jika TH meluluskan permohonan kuota khas berkenaan.
Mengenai program memartabatkan syiar Islam kalangan mualaf, Shaikh Harun berkata, golongan mualaf yang menghadiri kelas agama akan menerima insentif sebanyak RM60.
“Biasanya kelas agama untuk golongan itu diadakan selama dua jam sehari.
“Setakat ini 200 mualaf daripada seluruh negeri, termasuk yang memeluk agama Islam di luar negeri ini berdaftar dengan MAIDAM,” katanya. – UTUSAN