Perkenal kad prabayar sebelum rasionalisasi subsidi diesel - Utusan Malaysia

Perkenal kad prabayar sebelum rasionalisasi subsidi diesel

SHAIK FARIDHUDHEEN ANVERDEEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan disarankan memperkenalkan kad prabayar diesel yang didaftarkan di atas nama pemilik kenderaan persendirian susulan pengumuman untuk merasionalkan subsidi diesel secara berfasa.

Presiden Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, insiatif yang diambil kerajaan untuk merasionalkan subsidi diesel itu adalah baik untuk mengurangkan ketirisan, namun harus memperhalusi kaedah pelaksanaannya.

Ini kerana, katanya, kenaikan harga diesel untuk kenderaan komersial selain untuk syarikat pengangkutan sudah tentu akan meningkatkan kos operasi syarikat terbabit dan akhirnya pengguna akan terkesan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

”Memandangkan pengguna kenderaan persendirian yang menggunakan diesel adalah rendah berbanding petrol, adalah wajar kerajaan menyediakan kad prabayar diesel yang didaftarkan atas nama pemilik kenderaan persendirian yang mengunakan diesel.

”Kerajaan juga boleh menetapkan siling penggunaan bersubsidi untuk sebulan, contohnya 200 liter sebulan untuk seorang,” katanya di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berhasrat merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan.

Anwar berkata, kerajaan menanggung RM1.60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya.

Menurut Shaik Faridhudheen, pelaksanaan kad prabayar bersubsidi juga boleh menjadi mekanisma untuk mengurangkan ketirisan dan penyeludupan.

Dalam pada itu, katanya, kenaikan cukai perkhidmatan (SST) daripada lima peratus ke lapan peratus juga akan menjadikan beban kewangan kepada pengguna akhir.

”Saya menyarankan kerajaan menimbang semula cadangan ini. Mungkin pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar tiga hingga empat peratus sebagai permulaan akan meringgankan beban kerajaan serta pengguna,” katanya.

MOHAMED RIZWAN ABDUL GHAFOOR KHAN

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, rakyat perlu bersedia untuk berdepan dengan kenaikan harga barang mentah seperti sayur-sayuran susulan rasionalisasi subsidi diesel.

”Ketiadaan subsidi diesel akan menaikkan lagi kos melibatkan penghantaran bahan mentah seperti sayur-sayuran kerana kita tahu lori-lori besar menggunakan diesel, jadi apabila harga diesel naik secara tidak langsung kos barangan akan meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya