Perjalanan berliku Hospital Maran untuk 140,000 penduduk

Perjalanan berliku Hospital Maran untuk 140,000 penduduk

ILUSTRASI ARTIS GRAFIK mengenai Hospital Maran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pembinaan Hospital Maran yang diluluskan sejak 2018 menempuh laluan cukup berliku untuk direalisasikan dan begitu dinanti-nantikan kira-kira 140,000 penduduk daerah ini.

Berdasarkan rekod, pembinaan hospital ini diluluskan semasa era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi berdepan pelbagai penangguhan kesan pergolakan politik negara sejak 2018.

Dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan peruntukan Hospital Maran berjumlah RM350 juta tetapi sedang menunggu masa untuk dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff berkata, inisiatif perancangan pembinaan hospital baharu di Maran bermula dengan kelulusan dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) pada 2020.

Jelasnya, pada peringkat awal, beberapa tapak dicadangkan untuk pembinaan hospital ini tetapi didapati tidak sesuai membabitkan aspek teknikal kerana ia bercerun, lembah berair dan lain-lain yang bakal menelan kos yang tinggi.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bersama Pentadbir Tanah Maran, agensi teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kesihatan sudah pun mengenal pasti cadangan tapak terbaharu di Kampung Teras, Mukim Luit seluas 24 hektar. Malah Lawatan tapak sudah pun diadakan Mei lalu.

“Kementerian Kesihatan akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tapak ini atas tujuan hospital kepada kerajaan negeri melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) dalam tempoh terdekat ini setelah pelbagai aspek siap dikaji dan diteliti.

“Selanjutnya permohonan projek Hospital Maran akan diangkat ke pihak kementerian bagi kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya di sini semalam.

Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan negeri bersama JKNP dan Kementerian Kesihatan sentiasa komited bagi memastikan projek Hospital Maran berjaya dilaksanakan demi memberi penyampaian kesihatan yang lebih baik dan berkualiti kepada rakyat.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sudah berbincang dan memohon semula agar projek ini dapat disegerakan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 dan lain-lain mesyuarat di Kementerian Kewangan.

“Selaku Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, saya turut mengadakan kunjung hormat bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan di Putrajaya dan menerangkan keperluan mendesak berkaitan kesihatan di Pahang termasuk pembinaan Hospital Baharu Maran ini.

“Begitu juga ketika lawatan kerja Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada Mei lalu, perkara berkaitan Hospital Baharu Maran sudah saya maklumkan. Susulan itu lawatan ke tapak Hospital Maran telah diadakan juga pada Mei lalu,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya