IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima aduan berhubung kehadiran seekor harimau belang di kawasan Pos Kuala Mu, Sungai Siput.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pemeriksaan yang dilakukan di kawasan berkenaan mendapati terdapat jejak kehadiran binatang buas tersebut.
Bagaimanapun katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kawasan itu sememangnya merupakan habitat bagi haiwan liar itu.
“Betul, kita ada terima (aduan). Anggota pun telah buat tinjauan di lokasi dan dapati memang ada kesan kehadiran (harimau),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, meskipun kawasan itu merupakan habitat harimau belang, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga jika terserempak dengan haiwan tersebut.
Tegasnya, mereka diingatkan supaya tidak melakukan provokasi terhadap haiwan itu termasuk menangkap anaknya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Penduduk setempat diingatkan untuk berhati-hati termasuk tidak masuk ke hutan bersendirian terutama ketika hari gelap,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman berdurasi tujuh saat memaparkan kelibat binatang buas itu yang dilihat berada di tepi jalan dan sempat dirakam oleh pengguna jalan raya. – UTUSAN