Perbincangan rombakan Kabinet belum bermula - Ahmad Zahid

Perbincangan rombakan Kabinet belum bermula – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Halal di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, sebarang perbincangan mengenai rombakan Kabinet belum lagi bermula.

Menurut beliau, dalam perkara itu, ia sepatutnya setiap wakil parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan dipanggil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu bagi sesi rundingan dan perbincangan.

Bagaimanapun, katanya, setakat hari ini, perkara itu belum lagi berlaku, malah beliau sebagai Presiden UMNO belum dipanggil lagi untuk sebarang rundingan mengenai rombakan Kabinet itu.

“Saya belum bincang dengan Perdana Menteri lagi. Dalam wawancara sebelum ini, Perdana Menteri menyebut bahawa parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan dirundingi terlebih dahulu.

“Setakat pukul 5 petang tadi, belum ada tanda-tanda Perdana Menteri memanggil sekurang-kurangnya saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk dimaklumkan mengenai perbincangan itu (rombakan Kabinet),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Halal, di sini hari ini.

Katanya, beliau juga ingin menjelaskan bahawa sebarang perbincangan rombakan Kabinet tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Kabinet.

Ahmad Zahid berkata, kuasa itu (rombakan Kabinet) adalah kuasa prerogatif dan budi bicara seorang Perdana Menteri.

“Tidak ada mana-mana Perdana Menteri bincang siapa yang akan digugurkan (rombakan Kabinet) dalam mesyuarat Kabinet, sebaliknya ia budi bicara Perdana Menteri jika ada rombakan,” katanya.

Ditanya sama ada rombakan Kabinet kali ini akan memasukkan dua wakil komponen BN iaitu MCA dan MIC, Ahmad Zahid berkata, beliau menjelaskan tidak mempunyai jawapan mengenai ura-ura berkenaan.

“Saya pun ada dengar (khabar angin) sama dan Perdana Menteri tak pernah cakap (bincang perkara itu) dengan saya,” katanya.

Katanya, beliau telah menyatakan sebelum ini bahawa beliau akan melakukan yang terbaik jika diletakkan di mana-mana kementerian sekali pun.

Media sebelum ini membuat spekulasi mengenai rombakan Kabinet, malah ada yang menjangka rombakan itu akan dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat Kabinet esok.

Malah, beberapa portal berita turut mengaitkan beberapa nama besar dalam komponen BN untuk kembali dilantik sebagai menteri termasuk Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya