KUCHING: Peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan infrastruktur dan wilayah antara jumlah yang amat diharapkan dalam usaha menyediakan infrastruktur yang maju di negara ini.
Bagaimanapun, peruntukan emolumen masih dilihat antara bahagian yang besar daripada perbelanjaan operasi kerajaan. Justeru itu, mengambil kira beberapa langkah perlu di ambil perbelanjaan terhadap operasi perkhidmatan awam perlu disemak.
Setiausaha Agung Persatuan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Sarawak (ACCCIS) Datuk Jonathan Chai menegaskan, komitmen yang tegas daripada kerajaan diperlukan untuk menangani isu ini.
“Hal berlarutan ini perlu dipandang serius supaya sektor perkhidmatan awam negyang meruncing dapat dikecilkan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu.
“Antara lain yang perlu ditangani oleh kerajaan ialah meluaskan asas dan sumber penjanaan hasil kerana defisit dijangka semakin meningkat kerana tiada sumber pendapatan tambahan untuk membiayai perbelanjaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Oleh demikian, beliau berharap agar Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan nanti merupakan ‘belanjawan pengembangan’ dengan peningkatan peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan kerana lebih banyak dana diperlukan untuk infrastruktur luar bandar dan pembangunan wilayah.
Dalam pada itu, beliau turut berpendapat agar langkah pragmatik turut diambil dengan pengenalan semula kepada sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Bagaimanapun, kerajaan perlu mengimbangkan dengan memulakan kadar pelaksanaannya pada kadar sederhana iaitu 3 hingga 4 % jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula GST supaya tekanan inflasi dapat dikawal.
“Dengan pengenalan semula kepada sistem GST, ia dilihat sebagai sistem percukaian yang lebih adil yang diterima pakai oleh lebih 100 negara di seluruh dunia. Di samping itu, ia juga perlu dijadikan satu mekanisme atau proses bayaran balik yang cekap dan berkesan agar supaya aliran tunai perniagaan tidak terjejas secara berlebihan,” tambahnya.
Pembentangan Belanjawan 2024 dijadulkan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober ini.
Selain itu bagi Sabah dan Sarawak, Jonathan berharap perbelanjaan pembangunan yang mencukupi akan diperuntukan bagi kedua negeri yang mana infrastruktur pembangunannya masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semananjung.
“Semakan yang adil dan saksama kepada ‘geran khas’ Sarawak dan Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi fokus kepada kedua negeri ini dalam pembentangan belanjawan akan datang.
“Dengan peningkatan yang lebih tinggi daripada RM300 juta telah dipersetujui pada awal tahun dan sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan menunaikan janji-janji ini untuk mencerminkan keikhlasan dan komitmen kerajaan perpaduan untuk mengiktiraf perjanjian yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam meningkatkan kepesatan pembangunan Sabah dan Sarawak.
“Meskipun Sarawak telah diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai status negeri berpendapatan tinggi serta hasil yang memecahkan rekod, ia tidak wajar menjadi alasan untuk mengurangkan peruntukan pembiayaan kepada negeri Sarawak,” tegasnya.
Perkara lain yang akan turut dibentangkan dalam Belanjawan 2024, adalah berhubung gaji yang diterima rakyat Malaysia dijangka meningkat mulai tahun depan.
“Walau apa pun kadar yang disemak semula, kerajaan diharap dapat memberikan subsidi padanan kepada industri perniagaan sekurang-kurangnya setahun bagi mengurangkan kesan terhadap peningkatan kos operasi terutamanya Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS).
“Kekangan kedudukan fiskal para peniaga ini akan memebri impak kepada situasi yang tidak menjangka dan banyak kemungkinan peningkatan dalam perbelanjaan operasi perniagaan,” kata Jonathan lagi. –UTUSAN