IPOH: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai segala kelebihan apabila bertandang ke Stadium Perak di sini pada 19 Oktober ini.
Malah pertemuan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2023 itu harus menjadi milik pasukan Harimau Selatan itu .
Menikmati dua kemenangan besar dalam saingan Liga Super musim ini, JDT dijangka mudah meratah anak buah Yusri Che Lah.
Begitupun, kali ini Yusri mempunyai keyakinan baharu terhadap anak buahnya selepas menyingkir Kedah dan Sabah.
“Kita semua sedia maklum mengenai kekuatan dimiliki skuad Harimau Selatan namun tidak mustahil untuk kita mencipta kejutan.
“Saya hanya mahu pemain memberikan persembahan terbaik, lupakan dua kekalahan liga sebelum ini, ini perlawanan baharu, ” katanya.
Beliau sekali lagi menyeru semua penyokong Perak untuk turun memberikan sokongan pada perlawanan 19 Oktober ini.
“Saya percaya kehadiran penyokong pada malam itu penting untuk memberi motivasi kepada para pemain baik ketika perlawanan bermula atau berakhir,” katanya.
Yusri menerima suntikan semangat menjelang aksi itu nanti apabila memperbaharui kontrak bersama pasukan Perak dalam satu majlis ringkas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin semalam.
Perak FC menyambung perkhidmatan Yusri untuk dua musim lagi selepas anak kelahiran Perlis itu mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super.
Jurulatih berusia 47 tahun itu yang mengambil alih jawatan sebagai ketua jurulatih daripada Datuk Lim Teong Kim pada Mei lalu, berjaya membawa skuad Perak FC hingga peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Yusri ketika dihubungi menyuarakan rasa gembira untuk meneruskan tugas bersama skuad The Bos Gaurus yang dilihat serasi dengan pasukan itu.
“Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pengurusan Perak FC untuk terus berada dalam skuad Perak bagi menghadapi baki saingan musim ini dan musim seterusnya.
“Kepercayaan ini akan saya galas dengan sebaik mungkin dan berharap dapat melakukan yang terbaik dan sudah tentu saya akan berusaha untuk perbaiki kedudukan pasukan khususnya dalam saingan Liga Super,” katanya.
Perak FC turut melanjutkan kontrak Ketua Jurulatih Perak FC (B23), Chan Wing Hoong dan Ketua Jurulatih B20, Shahril Nizam Khalil. – UTUSAN