IPOH: Perak FC dan Borneo FC Samarinda memeterai hubungan yang menjanjikan perubahan dalam landskap bola sepak Asia Tenggara.
Dengan komitmen terhadap sukan yang sama, kedua-dua kelab mencapai persetujuan bersejarah bagi menjalin hubungan baik, semangat kesukanan dan meningkatkan mutu bola sepak di rantau ini.
Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Perak FC, Roy Ho dengan pemilik pasukan pendahulu Liga 1 Indonesia itu, Nabil Husein Said Amin.
Melalui persefahaman itu, kedua-dua kelab bersetuju dengan beberapa syarat bertujuan meningkatkan kerjasama dalam bola sepak.
Antara syarat ini ialah penganjuran perlawanan persahabatan timbal balik antara kedua-dua pasukan, perkongsian dagangan, tajaan, kempen pemasaran dan jualan barangan untuk memaksima pendapatan.
Turut dipersetujui ialah kerjasama terhadap pembangunan program belia bagi memupuk pemain muda berbakat untuk meningkatkan mutu mereka .
Kedua-dua pihak juga bersetuju mengenai syarat dan hak penolakan pinjaman dan perpindahan pemain.
Roy Ho berkata, perlawanan persahabatan pertama akan berlangsung di Stadion Segiri, Samarinda pada 18 November ini sementara perlawanan timbal akan diadakan sebagai perlawanan pra-musim awal 2024.
Sementara, Nabil Husein menyifat persefahaman ini akan memanfaatkan perkembangan bola sepak kedua-dua pasukan. – UTUSAN