PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan satu pelan pandemik komprehensif bagi memantapkan kesiapsiagaan bagi menghadapi penyakit X yang masih belum diketahui ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, perluasan kempen vaksinasi dan penyediaan peruntukan khas pandemik adalah penting seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Kata beliau, ini termasuk pemantauan berterusan, tindakan proaktif, penggunaan antibiotik yang rasional, langkah-langkah kawalan dan kerjasama antarabangsa.
“Selain itu, pendekatan ‘One Health’ yang menekankan hubungan antara manusia, haiwan dan kesihatan alam sekitar adalah komponen penting untuk mengeratkan kerjasama antara pelbagai disiplin.
“Penjagaan kesihatan individu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti senaman, menguruskan berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok juga boleh memantapkan kesiapsiagaan terhadap Penyakit X,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, walaupun ciri-ciri Penyakit X masih belum dikenal pasti dan waktu berlakunya penyakit ini belum diketahui, pakar-pakar kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap impaknya.
Berbanding dengan Covid-19 yang kurang menyebabkan kematian, jelasnya, Penyakit X dijangka mudah tersebar seperti campak dan mungkin mengancam nyawa seperti Ebola.
“Penularan Penyakit X boleh berasal dari pelbagai sumber termasuklah secara zoonotik, iaitu jangkitan dari haiwan kepada manusia.
“Kadar penyebaran Penyakit X akan semakin meningkat seiring dengan peningkatan kontak manusia dan haiwan, ditambah dengan pergerakan manusia merentas negara yang semakin mudah sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Muhammad Radzi berkata, KKM sentiasa bersiap siaga dan berwaspada terhadap kemungkinan munculnya Penyakit X berdasarkan pengalaman lalu dalam menangani penyakit seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV.
Katanya, sistem kesihatan negara juga sentiasa diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman kesihatan yang mungkin berlaku.
Walaupun kemungkinan berlakunya Penyakit X perlu diberi perhatian, kebimbangan berlebihan perlu dielakkan, jelas beliau.
“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya mengikuti garis panduan kesihatan, mengamalkan kesihatan baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan penyakit ini,” katanya. – UTUSAN