PETALING JAYA: Kemungkinan penyakit X yang diramal menjadi pandemik baharu selepas wabak Covid-19 masih menjadi tanda tanya apabila pakar-pakar perubatan memberitahu penyakit itu masih belum wujud atau tersebar.
Mereka berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hanya memberi peringatan kepada negara-negara dunia bahawa akan ada wabak yang menjadi lebih teruk daripada Covid-19 dan negara harus bersedia menghadapinya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Mohd. Arshil Moideen berkata, WHO sendiri masih belum mengisytihar penyakit X itu sebagai pandemik seperti Covid-19 yang telah menular sehingga mencetus kebimbangan awam.
Sehubungan itu katanya, masih belum diketahui akan ciri-ciri, bentuk penularan dan kesan langsung terhadap manusia kerana ‘penyakit’ itu masih belum wujud.
“Ini hanyalah satu ramalan yang mana WHO minta semua negara supaya lebih bersedia pada masa akan datang. Oleh itu, jika ada yang tanya kesan dan puncanya masih belum diketahui.
“WHO hanya ramal bahawa boleh ada satu virus lain yang mungkin satu masa nanti menjadi lebih teruk dari jenis virus yang ada sebelum ini.
“Sekarang, apa yang sedang menular berkenaan penyakit X hanyalah berita palsu,” katanya di sini semalam.
Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman pula berkata, tidak benar bahawa penyakit X telah dikesan sejak 2017 kerana semua pihak sudah tentu tahu lebih awal akan nama khusus, punca dan kesan penyakit itu.
Katanya, WHO memang menyenaraikan beberapa kumpulan atau keluarga virus berpotensi menyebabkan pandemik, selain usaha menyenaraikan penyakit itu telah dikeluarkan sekitar 2017 manakala penetapan senarai dibuat pada 2018.
“Senarai semasa penyakit-penyakit ini ialah Covid-19, demam berdarah Crimean-Cong, penyakit virus Ebola dan virus Marburg, demam Lassa, sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS) dan sindrom pernafasan akut teruk (SARS), penyakit Nipah dan henipavirus, demam Rift Valley, Zika dan Penyakit X.
“Penyakit X disenaraikan bermaksud WHO berwaspada kemungkinan muncul penyakit baharu, itu saja,” katanya.
Katanya, WHO membentuk kumpulan saintis antarabangsa bagi menilai bukti saintifik akan senarai penyakit berkenaan dengan tujuan memandu pelaburan global dan penyelidikan dan pembangunan (R&D), khususnya dalam pembangunan vaksin, ujian diagnostik dan ubat-ubatan. – UTUSAN