Penunggang motosikal terus diperiksa - JPJ - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal terus diperiksa – JPJ

Motosikal
LOKMAN Jamaan ditemui pemberita pada Op Patuh Khas Fasa 2 Kenderaan Komersial di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penunggang motosikal ditegaskan untuk terus mematuhi peraturan jalan raya seperti memiliki lesen memandu serta perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor yang masih aktif.

Ini kerana, pemeriksaan secara rawak akan diteruskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meskipun Operasi (Op) Patuh Khas Fasa 1 melibatkan pengguna kenderaan tersebut berakhir pada hujung September lalu.

Pengarah Penguatkuasa Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang operasi tersebut menunjukkan peningkatan terhadap pematuhan peraturan oleh pengguna motosikal, namun mencapai tahap yang memuaskan.

“Melalui pemerhatian kami melalui analisis awal, pengauditan pematuhan yang kita laksanakan, walaupun terdapat peningkatan pematuhan yang semakin baik tetapi ia belum mencapai satu tahap yang boleh dianggap selamat oleh pengguna jalan raya yang lain.

“Jadi, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa, bukan sahaja kepada penunggang motosikal atau pemandu kenderaan komersial, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain bagi meningkatkan rasa tanggungjawab dan menghormati undang-undang,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Menerusi operasi selama 30 hari itu, JPJ memeriksa sebanyak 420,334 buah motosikal dan mengeluarkan 135,446 notis atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 38 peratus atau 51,643 kesalahan dikesan melibatkan tiada perlindungan insurans dan 29 peratus atau 39,648 tidak mempunyai lesen memandu.

Dalam pada itu, Lokman sekali lagi mengingatkan pihaknya akan meneruskan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal bagi memastikan jaminan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita teruskan kerana pematuhan yang ada dalam kalangan penunggang motosikal walaupun menunjukkan angka yang positif tetapi masih belum mencapai tahap yang memuaskan.

“Di samping operasi khas, dalam masa sama kita juga membuat pemeriksaan motosikal secara rambang supaya rasa tanggungjawab dalam kalangan penunggang sentiasa ada,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya