ALOR SETAR: Penternak ayam di negeri ini meminta kerajaan mempertimbang subsidi bersasar dalam kalangan penternak kecil dan sederhana bagi kelangsungan industri itu.
Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Kedah, P. Ravintharan berkata, walaupun pihaknya akur dengan keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan pemberian subsidi namun berharap situasi menang-menang untuk semua yang terlibat.
“Kami sudah bermesyuarat dengan kementerian minggu lepas untuk menentukan mekanisme terbaik penetapan harga ekoran harga ayam akan diapungkan. Persatuan sudah terangkan tentang kepentingan untuk kekalkan subsidi atau subsidi bersasar.
“Harap kerajaan pertimbangkan. Kita tunggu mekanisme yang akan diumumkan oleh kerajaan nanti. Mungkin ada penurunan sederhana untuk subsidi itu bagi November dan Disember ini sebab Perdana Menteri sudah umum tahun depan tiada lagi subsidi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kerajaan akan mengumum pelaksanaan apungan harga ayam dan telur pada 30 Oktober ini ekoran bekalan kedua-duanya kembali stabil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan akan mengapung harga barangan itu dan tidak lagi meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur.
Dalam pada itu, menurut seorang penternak yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd., Mazlina Kamarudin, pihaknya akur dengan keputusan kerajaan untuk menarik pemberian subsidi kepada industri ternakan itu.
“Namun sebagai penternak kecil dan sederhana, kami harap kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kos anak ayam dan dedak.
“Harga bahan itu masih tinggi ketika ini,” katanya. – UTUSAN