Penoreh getah dipenjara lapan tahun, denda RM3,000 cuba bunuh polis - Utusan Malaysia

Penoreh getah dipenjara lapan tahun, denda RM3,000 cuba bunuh polis

MUHAMAD Saidi Che Omar ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian 17 Oktober lalu. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis menggunakan kapak di Felda Bersia, Gerik minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Saidi Che Omar, 31, juga berdepan hukuman penjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut diputuskan setelah duda anak satu itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Hukuman itu berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah cuba membunuh Reymee Abdul Rahman, 38, dengan cara melibas ke bahagian kepala dan lengan menggunakan sebilah kapak di kebun kelapa sawit di Felda Bersia, Gerik pada pukul 11.30 pagi, 17 Oktober 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi.

Terdahulu, Hennie Soraya merayu hukuman penjara paling singkat atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan bulanan RM500 itu perlu menyara seorang anak yang masih bersekolah selain ibu bapa dan seorang adik.

Bagaimanapun, Muhammad Firdaus memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman berat mengambil kira perbuatan tertuduh yang boleh menyebabkan kematian mangsa.

“Hukuman itu juga sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat yang jenayah sebegitu tidak boleh diterima dan tiada toleransi di negara kita,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota berpangkat Koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik cedera di bahu kanan selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak.

Kejadian berlaku ketika anggota terbabit bersama seorang Lans Koperal sedang menjalankan Operasi Tapis di kawasan berkenaan sebelum terserempak suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Suspek berlari ke arah anggota terbabit dan melibas kapak ke arahnya hingga cedera pada bahu kanan dan bengkak di kepala.

Tindakan suspek itu menyebabkan anggota tersebut terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri yang terkena lutut kanan lelaki terbabit.

Pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu peket lutsinar berisi cebisan tumbuhan kering disyaki ganja dan dua keratan straw berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam poket seluar hadapan sebelah kiri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN