Penjenamaan semula Sid Murshid - Utusan Malaysia

Penjenamaan semula Sid Murshid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH dikenali sebagai pempengaruh yang sering kali tular kerana menu masakan dan lagu-lagu komedinya di media sosial, Sid Murshid mahu kembali serius dalam mempertaruhkan bakat nyanyiannya.

Tampil dengan single baharu, i x Kesah, akui Sid, dia tidak pernah melupakan minat utamanya sebagai penyanyi biarpun ramai yang mengenali dan suka dengan perkongsian video-video menu masakannya.

“Mungkin mereka yang sudah lama mengikuti perjalanan karier tahu saya bermula sebagai penyanyi. Namun seiring masa menerusi aplikasi TikTok dan Instagram, saya cuba sesuatu yang baharu.

“Saya sendiri terkejut sebenarnya bila ramai yang mula kenali saya sebagai pempengaruh dalam bidang masakan. Ada juga beberapa kandungan saya mendapat sambutan yang cukup luar biasa.

“Tetapi i x Kesah ini adalah satu penjenamaan semula saya dalam dunia nyanyian. Saya masih minat untuk berkongsi karya ciptaan dan nyanyian,” kata lelaki berusia 30 tahun ini.

Membuka gelanggang bicara tentang i x Kesah, Sid berkata, lagu itu menceritakan tentang suara hati seseorang yang akhirnya memilih untuk tidak mengambil peduli dan berhenti mengejar cinta yang tidak ada kepastian.

“Saya berharap agar lagu i x Kesah ini akan memberi inspirasi kepada mereka yang selama ini lupa untuk menyayangi diri dan sering meletakkan kepentingan orang lain dahulu biarpun hati sendiri terluka.

“Kita kadang-kadang lupa untuk menghargai dan menjaga hati sendiri. Sebab itu saya berharap lagu ini dapat merawat sesiapa sahaja yang mungkin merasakan tidak penting dan ‘hilang’ dari pandangan seseorang.

“Semoga i x Kesah akan menerima sambutan ramai seperti lagu-lagu sebelum ini, Lelah, Rakaman dan Biarkan,” ujarnya.

Tidak hanya nyanyian, Sid juga berbakat besar sebagai komposer. Dia pernah bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Hiasi Duniaku.

TAK TUMPANG GLAMOR

Pernah juga tular lantaran dikatakan menumpang populariti pengacara, Hawa Rizwana dalam salah satu video masakannya, jelas Sid dia tidak pernah berniat sebegitu sebaliknya hanya berkongsi minat masak yang sama.

“Tak pernah terfikir pun mahu menggunakan nama atau populariti Hawa. Saya sebenarnya bertugas secara sambilan sebagai jurulatih boxing dan Hawa adalah salah seorang pelajar saya.

“Sebelum ini juga saya pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti dan pempengaruh dalam video masakan saya. Kalau ikutkan, saya berhasrat mahu tampilkan penyanyi nombor satu kita juga.

“Tetapi Kak Siti belum beri jawapan lagi. Saya juga ada pelan untuk menjemput Aisha Retno, Aziz Harun dan ramai lagi,” ujarnya.

Ditanya bagaimana dia berdepan kecaman, jelas Sid, setiap kritikan sama ada baik atau buruk adalah tanda kehadirannya dalam industri disedari. Malah, dia juga terbuka menerima setiap pujian dan kritikan.

“Ada bezanya bila kita tiba-tiba tular dan menerima kecaman disebabkan satu video sahaja. Tetapi saya dan Hawa buat biasa sahaja. Saya ambil setiap kritikan dan perbaiki.

“Tetapi bila tular, jumlah pengikut di aplikasi sosial media turut meningkat dengan mendadak. Cuma saya tidak akan perjudikan kerjaya saya untuk tular semata-mata. Biarlah seiring bakat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya