Penjawat awam tak perlu bayar balik pinjaman perumahan LPPSA

Penjawat awam boleh tangguh pembayaran balik pinjaman perumahan LPPSA

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peminjam boleh menikmati tempoh penangguhan pembayaran balik pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) selama 24 bulan bagi pembinaan rumah atas tanah dan 36 bulan bagi pembinaan rumah bertingkat.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, penangguhan bayaran balik itu sehingga pengeluaran bayaran kemajuan perumahan kepada pemaju mencecah 95 peratus.

Jelasnya, peminjam sebenarnya tidak perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh penangguhan tersebut yang merupakan satu kelebihan pembiayaan LPPSA kepada penjawat awam.

Katanya, LPPSA masih memboleh membantu melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan bayaran ansuran bulanan lebih rendah sekitar 20 hingga 40 peratus daripada ansuran bulanan asal, sehingga tempoh lima tahun atau sehingga projek rumah pulih.

“Ini sekiranya projek perumahan tersebut lewat siap dan telah sah sebagai projek terbengkalai atau sakit oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Sarawak (KKTP) selepas tamat tempoh tangguh itu.

“Kaedah penjadualan semula bayaran balik dilihat lebih membantu peminjam berbanding pemberhentian bayaran balik sehingga rumah siap.

“Ini disebabkan bayaran ansuran tertangguh akan menjadi terkumpul dan menyebabkan bayaran balik bulanan selepas rumah siap akan menjadi besar dan membebankan peminjam kelak.

“Pelanjutan tempoh bayaran balik pula akan menjejas perlindungan takaful/insurans gadai janji peminjam yang mendedahkan kepada pengurangan jumlah bayaran tuntutan pampasan kematian/keilatan berbanding baki pembiayaan sekiranya peminjam meninggal dunia,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd. Nor [PN-Ketereh] jika LPPSA boleh memberhentikan sementara pemotongan gaji sementara menunggu projek perumahan yang tidak siap disambung kembali.

Pada Mei lalu, media melaporkan, lebih 120 pembeli pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh, Kota Bharu, kecewa apabila impian mereka untuk menghuni kediaman sendiri belum termakbul hingga kini.

Projek perumahan itu yang sepatutnya siap pada 2020 dikatakan masih terbengkalai dan tiada kemajuan selepas pembinaannya tertangguh disebabkan Covid-19.

Lebih malang apabila mereka terpaksa menanggung bayaran pinjaman perumahan sehingga RM1,500 sebulan sejak 2021 sekali gus terbeban dengan komitmen lain.

Ada dalam kalangan mereka dilaporkan membuat pinjaman bank dan melalui LPPSA.

Keadaan sama dilaporkan turut berlaku di Marang, Terengganu menyaksikan 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama, Kampung Gong Cempedak apabila rumah impian mereka terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.

Mereka dilaporkan buntu apabila rumah yang sepatutnya siap pada 2019 masih belum dapat diduduki sedangkan pinjaman dengan perbankan dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) antara RM400 hingga RM800 perlu dibayar setiap bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya