Peningkatan siling gaji diinsurans manfaat 1.45 juta pekerja

Peningkatan siling gaji diinsurans manfaat 1.45 juta pekerja

V. SIVAKUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan siling gaji dinsuranskan dari RM5,000 ke paras baharu iaitu RM6,000 dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, peningkatan itu adalah antara dua inisiatif baharu melalui Belanjawan 2024 selain memudahkan integrasi kumpulan sasaran ke sektor awam.

“Kenaikan siling gaji diinsuranskan ke paras baharu ini berkuat kuasa selepas pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Akta Sistem Insurans Pekerjaaan 2017 (Akta 800).

“Ia sekali gus dijangka meningkatkan faedah tunai sebanyak 20.2 peratus bagi 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka jika ditimpa bencana kerja, keilatan, kematian atau kehilangan pekerjaan. 

“Kedua-dua usaha ini diyakini menjadi pemangkin sinergi keselamatan sosial selain mewujudkan persekitaran pasaran buruh yang menepati prinsip kesaksamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Sivakumar berkata, peruntukan lebih RM200 juta kepada Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memperkasa jaringan perlindungan sosial dan memacu pasaran buruh adalah selari usaha Kerajaan Persekutuan ke arah agenda reformasi struktur.  

Katanya, tekad Kerajaan Persekutuan dalam memaknai keutuhan perlindungan sosial rakyat juga dicerminkan menerusi penambahbaikan dua inisiatif sedia ada yang dilanjutkan.

Ujarnya, ia melibatkan geran padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan peruntukan RM100 juta serta pembiayaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) menerusi peruntukan RM50 juta. 

“Dua lagi inisiatif yang turut dilanjutkan adalah Program Latihan Bina Kerjaya (RM35 juta) dan skim sokongan pekerjaan di sektor swasta (RM30 juta), dengan tiga golongan sasar digariskan iaitu orang kurang Upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas.

“Selain itu, dasar pengambilan pekerja OKU  sebanyak satu peratus akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas untuk dilaksanakan di pelbagai kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta rakan strategik kerajaan. 

“Pemerkasaan dasar ini akan disokong menerusi peranan pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso dan platform portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs.  Ia dilengkapi dengan kebolehan kecerdasan buatan (AI) yang dapat memastikan pemadanan pekerjaan yang cekap serta bersesuaian dengan golongan ini dapat dilakukan seterusnya mengurangkan tempoh penempatan pekerjaan bagi golongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya