Peniaga perlu ambil peluang digitalkan perniagaan

Peniaga perlu ambil peluang digitalkan perniagaan

SUHAIMI Ali (kiri) bersama Farhan Ahmad semasa gimik pelancaran Pasar Kitar Cashless dan laman web Suri Lifestyle di Laman Padi, Jalan Pantai Chenang di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pemain industri dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terutama di Pulau Langkawi wajar mengambil peluang untuk mendigitalkan perniagaan mereka.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Suhaimi Ali berkata, pendigitalan perniagaan membolehkan produk mereka bukan sahaja dapat dipasarkan di kawasan setempat malah sehingga ke seluruh pelosok dunia.

SUHAIMI ALI

“Misalnya di Langkawi ini, PMKS seharusnya terlibat dalam perniagaan digital yang tidak hanya melibatkan e-pembayaran semata-mata.

“Bayangkan kita membuat transaksi kewangan tanpa perlu berkunjung ke cawangan bank, tanpa perlu bayar caj meletak kenderaan, tanpa perlu tunggu giliran dan tanpa perlu membuat penyelarasan akaun secara manual. 

“Bukankah semua proses mudah ini dapat menjimatkan masa dan kos yang sentiasa perlu dioptimumkan dalam setiap perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majis Pelancaran Pasar Kitar Cashless Langkawi yang merupakan sebuah projek Komuniti PayNet Cambah di Laman Padi, Jalan Pantai Chenang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia (PayNet) Sdn. Bhd., Farhan Ahmad.

Pelancaran Pasar Kitar Cashless itu sebagai permulaan untuk memangkin penerimaan pembayaran secara dalam talian yang lebih menyeluruh di pulau peranginan itu.

Program berkenaan dianjurkan secara bersama oleh PayNet dan Tentuhala Collective.

Mengulas lanjut, Suhaimi turut memberikan contoh kejayaan Pulau Redang di Terengganu yang mana 70 peratus penjaja di kawasan pelancongan itu telah menggunakan transaksi tanpa tunai.

Jelasnya, pelancong asing yang berkunjung ke pulau tersebut kini dapat membeli barangan daripada penjaja tempatan tanpa perlu menggunakan wang tunai yang secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk.

Sementara itu dalam program sama, Suhaimi turut melancarkan laman web Suri Lifestyle yang turut mendapat kerjasama PayNet bagi membudayakan transaksi tanpa tunai serta mengintegrasikan pendidikan kewangan dengan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

Jelasnya, gandingan itu amat penting bukan sahaja untuk mengajar kemahiran menjana pendapatan, tetapi untuk membina keupayaan mengurus kewangan dan pendapatan demi kesejahteraan jangka panjang.

Beliau menyatakan, usaha itu adalah inisiatif tahunan FEN di bawah Bulan Literasi Kewangan 2023 dengan tema Bijak Wang di Era Digital yang memberi penekanan terhadap mesej kepentingan celik kewangan dalam memanfaatkan perkembangan ekonomi digital. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya