Peniaga berharap kerajaan lakukan sesuatu kawal kenaikan harga barang - Utusan Malaysia

Peniaga berharap kerajaan lakukan sesuatu kawal kenaikan harga barang

NOR Juliana Aziz,26, memeriksa lauk pauk di Warung Kak Long dan Kak Ngah di Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peniaga makanan berharap kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan kenaikan harga barang mentah yang melonjak lebih 50 peratus sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang peniaga, Aziz Omar,54, berkata, jika sebelum ini, hasil jualan sekitar RM1,500, modal untuk barangan hanya RM500 ke RM600 berbanding sekarang dia perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM1,200.

Malah luahnya, suasana berniaga sekarang sudah tidak seperti dahulu di mana kebanyakkan peniaga hanya cukup-cukup makan atau hanya mendapat pulangan modal.

Justeru, Aziz yang sudah lima tahun menjalankan perniagaan makanan di sini sangat berharap Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi tumpuan khusus dalam mengawal kenaikan harga barangan.

“Sekarang semua barangan naik seperti ayam, beras, bawang dan pelbagai lagi keperluan lain. Apabila meningkat,
susah untuk kembali turun. Selain harga naik, barangan seperti gula, telur, minyak masak juga sukar diperolehi.

“Kawalan harga barangan ini perlu diberi tumpuan khususnya kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga malah kepada rakyat secara keseluruhannya. Sekarang ini, boleh dikatakan semua barangan naik harga.

“Dalam tempoh lima tahun sahaja, perbezaan cukup ketara kesan daripada kenaikan harga barangan yang berterusan ini. Jika dahulu keuntungan agak tinggi, sekarang hanya tinggal RM200 ke RM300 sahaja. Kadang-kala hanya lepas pusingan modal,” katanya.

Tambah Aziz, berikutan kenaikan kos barangan tersebut, peniaga juga tidak ada pilihan selain terpaksa menaikan sedikit harga makanan.

“Kami pun sebenarnya tidak mahu naikkan harga tetapi sudah tidak ada pilihan. Takkan setiap kali jika harga barangan naik, kami juga terpaksa naik harga. Kalau boleh, kita hendak elak perkara itu berlaku.

“Kos harga barangan ini perlu dikawal kerana semakin hari harga semakin naik dan tidak ada tanda-tanda penurunan harga. Besar harapan peniaga agar kerajaan memberi tumpuan dalam isu kenaikan barangan ini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Zaini Ismail berkata, dia tidak melihat kenaikan harga barangan ini akan dapat dikawal melainkan kerajaan melakukan langkah drastik menyelasaikan isu ini.

“Semakin hari, berniaga semakin tidak menguntungkan sedangkan kami juga mencari makan bagi menampung kehidupan harian. Isu kenaikan harga ini bagai tidak ada kesudahan,” kata peniaga roti canai itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya