Pengasuh didakwa abai anak asuhan hingga mati lepas

Pengasuh didakwa abai anak asuhan hingga mati lemas

SITI Aina Nurnisa Mohammad Sa’id (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengabaikan anak jiran yang diasuhnya hingga mati lemas. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak jiran asuhannya sehingga menyebabkan kanak-kanak berusia tiga tahun itu mati lemas, dua minggu lalu.

Siti Aina Nurnisa Mohammad Sa’id, 25, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan sengaja menganiayai dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu akibat rendaman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Wangsa Maju di sini pukul 11 pagi dan 11.20 pagi pada 20 September lalu.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau keduanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Bagaimanapun peguam Muhammad Irsyad Mohamad Hassan yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya yang merupakan ibu tiga anak berusia setahun hingga tujuh tahun.

“Anaknya yang berusia setahun masih menyusu badan selain tertuduh turut menyara ibu dan bapa yang sedang terlantar akibat mengalami kecederaan di kepala,” ujarnya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 November ini bagi sebutan kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN