Penentuan Yasin bebas atau bersalah atas tuduhan dadah 29

Penentuan Yasin bebas atau bersalah atas tuduhan dadah 29 November ini

MUHAMMAD Yasin Sulaiman dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya selepas perbicaraan kes dadah. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Keputusan sama ada komposer dan penyanyi, Muhammad Yasin Sulaiman dibebaskan atau disabitkan terhadap tiga pertuduhan dadah akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 29 November ini.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar keterangan satu-satunya saksi pembelaan iaitu Pakar Perunding Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Dr. Ian Lloyd Anthony.

Terdahulu, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhammad Yasin menutup kes pembelaan selepas saksi berkenaan selesai memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan dan pembelaan perlu memfailkan hujahan bertulis pada 15 November. Mahkamah menetapkan keputusan di akhir kes pembelaan 29 November ini pada sebelah petang,” kata hakim itu.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin 

Dalam bicara bela diri sebelum ini, Dr. Ian Lloyd mencadangkan agar Muhammad Yasin menjalani rawatan secara berterusan akibat kecelaruan bipolar (bipolar disorder) yang dialaminya sejak 2009.

Saksi itu berkata, tertuduh mengalami gejala-gejala bipolar mania termasuk perubahan mood yang melampau, perasaan yang tidak realistik, paranoia dan sikap berhalusinasi untuk tempoh tertentu di antara 2009 dan tahun lalu.

Menurut saksi pembelaan itu, hasil pemerhatian terhadap penyanyi itu menunjukkan, pesakitnya berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian seperti yang didakwa dalam pertuduhan.

Sementara saksi pendakwaan dalam memberi keterangan sebelum ini memberitahu, Muhammad Yasin kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata, tertuduh dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama. 

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN