KUALA SELANGOR: Pencemaran yang berlaku di Sungai Sembilang disahkan bukan berpunca dari tapak pelupusan sampah Jeram berdasarkan ujian terhadap pensampelan air yang diambil berhampiran kawasan tersebut.
Ketua Operasi Pusat Pelupusan, Worldwide Landfills Sdn Bhd, Nor Haszma Mohd. Hashim berkata, perkara itu disahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang turut membuat tinjauan di sungai berkenaan.
Jelasnya, bagaimanapun kewujudan penempatan sementara bersebelahan kawasan tersebut tidak melibatkan kakitangannya, sebaliknya, ia menjadi penempatan sementara pekerja daripada syarikat sub kontraktor yang baru memasuki tapak tersebut pada April lalu.
“Penempatan tersebut berkemungkinan menjadi salah satu penyumbang pencemaran yang berlaku di Sungai Sembilang dan akan berbincang dengan Syarikat Sub Kontraktor dan mengarahkan mereka untuk berpindah ke kawasan lain,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan meninjau pencemaran air di Sungai Sembilang serta penempatan haram bersebelahan tapak pelupusan sampah di Jeram.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tinjauannya di sepanjang sungai berkenaan mendapati pencemaran yang berlaku dipercayai berpunca daripada tapak pelupusan sampah di Jeram, malah kawasan tersebut terdapat penempatan haram.
Penempatan berkenaan tidak jauh dari jalan utama (Jalan Bukit Kerayong), namun ia terlindung dengan pokok kelapa sawit dan perlu melalui kawasan tapak pelupusan sampah untuk memasukinya.
Penempatan haram tersebut dikesan sepanjang kira-kira 100 meter dan mempunyai lebih 20 pintu menjadi rumah kongsi lebih 30 pekerja warga asing dari pelbagai negara yang bukan sahaja bekerja di tapak pelupusan sampah tersebut, bahkan di tempat lain.
Kedudukan rumah mereka terletak di sebalik dinding diperbuat daripada zink yang memisahkan kawasan tapak tersebut dengan Sungai Sembilang dan dikhuatiri pelepasan kotoran daripada penempatan haram itu menyebabkan pencemaran sungai. – UTUSAN