Penduduk Bukit Gelugor bantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G - Utusan Malaysia

Penduduk Bukit Gelugor bantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G

SEKUMPULAN penduduk di Bukit Gelugor, Pulau Pinang berhimpun bagi membantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G berhampiran surau kawasan perumahan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Penduduk di Bukit Gelugor di sini membantah pembinaan pemancar telekomunikasi 5G berhampiran surau kawasan perumahan mereka kerana bimbang dengan isu keselamatan dan kesihatan masyarakat setempat.

Wakil penduduk, Hamdullah Mohammed Farouk berkata, mereka kecewa kerana pembinaan pemancar telekomunikasi 5G di perkarangan Surau Bukit Gelugor itu tidak dimaklumkan kepada penduduk kawasan berkenaan.

“Pihak berkuasa tempatan telah memberi kelulusan untuk pembinaan pemancar telekomunikasi 5G di perkarangan Surau Bukit Gelugor dan penduduk tidak diberikan sebarang notis mengenai perkara ini.

“Kami amat terkejut kerana pembinaan menara ini dibuat tanpa perbincangan dan persetujuan terlebih dahulu dengan masyarakat yang akan terjejas secara langsung dengan adanya menara berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan secara global, tiada jaminan 100 peratus dari segi keselamatan dan kesihatan sekiranya seseorang itu terdedah kepada bahaya pemancar telco.

PEMANCAR telekomunikasi 5G yang dibina berhampiran surau kawasan perumahan di Bukit Gelugor, Pulau Pinang yang mendapat bantahan penduduk setempat.

”Semakin banyak bukti menunjukkan mereka yang berada dalam radius 500 meter dari pemancar telekomunikasi berkemungkinan akan mengalami kesan kesihatan jangka panjang.

“Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa juga menganggap gelombang frekuensi radio (RF
secara umum sebagai berpotensi karsinogenik,” katanya.

Tambahnya, penduduk mengalu-alukan pembangunan dan kemajuan, namun mereka tidak dapat lari daripada kenyataan terdapat kemungkinan bahaya yang boleh dibawa oleh infrastruktur menara pemancar itu kepada masyarakat.

Jelasnya, penduduk juga telah menghantar surat kepada pihak berkuasa tempatan yang berkenaan seperti Pejabat Ketua Menteri; Pejabat Datuk Bandar dan sebagainya untuk menyatakan bantahan mengenai isu tersebut.

”Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab yang berkhidmat kepada rakyat, kami memohon kelulusan untuk membina pemancar telekomunikasi di tengah-tengah kawasan perumahan kami dipertimbangkan semula.

”Kami memohon supaya ada arahan henti tugas pembinaan menara tersebut dan pihak terbabit bermesyuarat dengan penduduk untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya