PETALING JAYA: Pemuda Perpaduan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyuarakan sokongan di ‘Himpunan Solidariti Bersama Gaza’ di pekarangan Masjid Negara selepas selesai Solat Jumaat, esok.
Menurut satu kenyataan, himpunan itu memanggil seluruh rakyat menyampaikan mesej yang jelas bahawa Malaysia menentang segala bentuk pencabulan perundangan hak asasi manusia sejagat serta menggesa pihak berwajib untuk bertindak tegas dan segera menghentikan segala bentuk kekejaman, penindasan dan ketidakadilan ke atas Palestin.
Kata kenyataan itu, kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas Palestin wajar dibela dan diberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.
“Masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia perlu sedar peperangan yang berlarutan ini melangkaui kaca mata agama tetapi ia adalah jenayah kemanusiaan.
“Bantahan terbuka perlu dizahirkan. Inilah masanya rakyat Malaysia bersatu hati menunjukkan solidariti kepada Palestin yang mempertahan kedaulatan dan hak rakyatnya demi menamatkan konflik peperangan yang tidak menguntungkan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Adam Adli Abd. Halim; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Kelvin Yii dan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd. Hasbie Muda.
Menurut kenyataan itu, Pemuda Perpaduan berpendirian tegas mengecam sekeras-kerasnya jenayah kemanusiaan dalam konflik Perang Palestin-Israel dan menggesa agar ia dinokhtahkan segera.
Jelas kenyataan itu, gesaan itu setelah mengambil kira kesengsaraan dan kehilangan nyawa orang awam yang tidak terkira dari kedua-dua belah pihak.
“Pelanggaran perjanjian oleh rejim Israel serta penindasan berterusan terhadap hak asasi rakyat Palestin menjadi jenayah yang tidak disemak dan diadili di muka pengadilan sejak sekian lama sekali gus menyerlahkan sikap double standard badan-badan antarabangsa,” kata kenyataan itu. – UTUSAN