Peminat Taylor Swift gagal dapat tiket konsert, lelaki didenda RM800 - Utusan Malaysia

Peminat Taylor Swift gagal dapat tiket konsert, lelaki didenda RM800

MARCUS Lau hadir ke Mahkamah Majistret Tampin bagi didakwa seleas gagal menjelaskan sejumlah wang RM1,000 yang terdapat dalam akaunnya yang dibayar oleh seorang peminat artis antarabangsa.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gara-gara gagal menjelaskan sejumlah wang RM1,000 yang terdapat dalam akaunnya, seorang lelaki didenda sebanyak RM800 oleh Mahkamah Majistret Tampin di sini, hari ini.

Tertuduh, Marcus Lau, 35, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.

Majistret turut menetapkan hukuman tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, pada 12 Julai lalu, kira-kira pukul 6.55 petang bertempat di sebuah premis di Taman Seri Rembau, di dalam akaun milik tertuduh terdapat wang berjumlah RM1,000 milik seorang lelaki berusia 31 tahun yang mana ia diperoleh secara frod.

Tertuduh gagal memberikan penjelasan memuaskan bagaimana wang tersebut diperoleh.

Oleh itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang boleh didenda sehingga RM1,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 12 Julai lalu, mangsa telah melayari satu aplikasi dan tertarik dengan iklan jualan tiket konsert Taylor Swift di Singapura secara dalam talian dan seterusnya telah berurusan dengan seorang individu tidak dikenali di aplikasi WhatsApp.

Mangsa yang bersetuju membeli tiket tersebut telah membuat pembayaran ke dalam akaun tertuduh namun berasa tertipu kerana tidak mendapat tiket konsert seperti yang dijanjikan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menyerahkan maklumat akaun dan kad perbankan kepada pihak ketiga dalam urusan perniagaan menjual pakaian.

 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menyatakan dia menanggung lima orang adik dan memohon hukuman minimum bagi kesalahan pertama kali itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN