PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin wanita negara menyelar tindakan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang mengeluarkan kata-kata berbaur seksis terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, tindakan Mohd Suhaimi itu merupakan gangguan seksual yang dibuat secara terang-terangan, jelas dan nyata.
“Siap boleh cakap nak bayangkan. Kalau ada yang cakap ini gurauan, sudah-sudahlah dengan gurauan memalukan seperti ini,” ciapnya menerusi laman media sosial, X.
Terdahulu, sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika selepas Mohd Suhaimi mengeluarkan kenyataan seksis tersebut terhadap Teresa.
Dewan Rakyat gamat seketika selepas Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap Teresa Kok (PH-Seputeh).
“Saya nak jemput khusus kepada Seputeh datang tak mau pakai apa pun tak apa. Yang tanya pakai seluar pendek itu kenapa.
“Saya terlupa nak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang tak pakai apa-apa,” katanya.
Mohd Suhaimi berkata demikian selepas Teresa bertanya kepada beliau sama ada boleh berseluar pendek di pantai di Langkawi.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, walaupun dikatakan soalan yang dikemukakan oleh Teresa bersikap provokasi, namun, ia bukan alasan untuk menghalalkan tindakan balas Mohd Suhaimi.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih mestilah menunjukkan contoh yang baik dan menjawab tiap soalan secara profesional. Kami mengecam sekeras kerasnya siapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan bersifat lucah, seksis, merendahkan maruah serta diskriminasi terhadap wanita.
“Ini bukan lagi isu politik tetapi sikap biadap wakil rakyat seperti ini tidak sepatutnya jadi amalan di negara kita,” katanya.
Sependapat dengan itu, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz menyifatkan tindakan Mohd Suhaimi adalah sesuatu yang menjijikan.
“Apa lagi yang Ahli Parlimen Langkawi sebut ni berbentuk gangguan seksual, merendahkan martabat Dewan Rakyat dan merendahkan darjat wanita. Beliau wajib minta maaf kepada Teresa, apa puna perangai wakil rakyat macam ni. Memalukan,” ujarnya.-UTUSAN