Pemilik syarikat mengaku buat tuntutan palsu

Pemilik syarikat mengaku buat tuntutan palsu

MUHAMMAD Asyraf Omar mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM44,600 di bawah Program Penjana 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kerjaya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asyraf Omar, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Rohatul Akmar bagaimanapun menetapkan tarikh 7 November depan untuk fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curang menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu borang pengesahan pekerja program inisiatif pengambilan pekerja atas nama Perusahaan Syarikat Asyraf Omar Legacy bertarikh 11 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Mei 2021 di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan, Perkeso Kedah, di sini.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menanti keputusan hukuman. Tertuduh difahamkan membayar jaminan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya