Pemilik stesen minyak didenda jual diesel dalam tong dram

Pemilik stesen minyak didenda jual diesel dalam tong dram

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini mendenda seorang pemilik stesen minyak RM100,000 kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dengan membenarkan penjualan diesel di dalam tong dram, Mac lalu.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Wahab Jaafar, 72, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kesnya hari ini.

Mengikut pertuduhan, Abdul Wahab sebagai pemilik perkongsian stesen minyak K.A. Surijaya Enterprise, didakwa menjual bahan api diesel kepada Yau Poh Trading Sdn. Bhd. yang diisi ke dalam tong dram di atas dua buah lori masing-masing berjumlah 1,140 liter dan 1,080 liter.

OKS yang memegang lesen barang kawalan didakwa melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang tidak membenarkan penjualan bahan api diesel dan semua gred petrol kecuali untuk tangki asal kenderaan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di stesen minyak BHP, Kampung Baharu, Puchong, dekat sini pada 9.30 malam, 22 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhana Mohd. memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Beliau memohon mahkamah mengambil kira faktor ketirisan subsidi menyebabkan kerajaan rugi besar kerana bantuan kepada rakyat diselewengkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan berbelanja berbilion ringgit setiap tahun untuk subsidi minyak dan perbuatan OKS merosakkan landskap ekonomi negara selain menyebabkan ketidakjaminan bekalan minyak diesel dalam negara.

“Kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius dan saya mohon hukuman berat berbentuk pencegahan terhadap tertuduh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN