Pemilik pusat kecantikan didenda RM62,000

Pemilik pusat kecantikan didenda RM62,000

NUR Aqila Ahmad Sabri hadir di Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi bagi menghadapi pertuduhan menjalankan khidmat pergigian tidak berdaftar. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BARU BANGI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang pemilik pusat kecantikan sebanyak RM62,000 kerana menjalankan khidmat pergigian dan menyediakan klinik pergigian swasta (KPS) tidak berdaftar, Julai tahun lalu.

Nur Aqila Ahmad Sabri, 29, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Mahkamah memerintahkan Nur Aqila selaku orang kena saman (OKS) dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menjalankan khidmat pergigian tidak berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018, di sebuah premis di Jalan Medan Pusat Bandar pada jam 2.01 petang, 26 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 dan boleh dihukum bawah Seksyen 62(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyediakan KPS yang tidak didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kes dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 5(1) akta sama, yang berdepan hukuman yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Izwan Abd. Hamid sementara peguam Naim Mahmud mewakili OKS.

Mengikut fakta kes, ketika serbuan di lokasi kejadian, Nur Aqila yang juga pemilik premis itu didapati gagal menunjukkan dokumen mengesahkan klinik itu sebagai sebuah KPS berdaftar.

Siasatan lanjut mendapati premis beralamat di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi di sini, tidak berdaftar sebagai sebuah KPS sebagaimana semakan dengan Ibu Pejabat Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, KKM.

Semakan daripada Majlis Pergigian Malaysia (MPM) juga melaporkan bahawa, Nur Agila bukan pengamal pergigian yang berdaftar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN