Pemilihan Sultan Nazrin berita gembira buat rakyat Perak - Utusan Malaysia

Pemilihan Sultan Nazrin berita gembira buat rakyat Perak

SAARANI Mohamad (tengah) memegang kad replika sumbangan bersama pelajar yang menerima bantuan cermin mata di Gerik hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pemilihan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong merupakan berita gembira buat seluruh rakyat negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rakyat negeri Perak mendoakan Sultan Nazrin untuk menjalankan tugas baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah tentu ini merupakan penghargaan dan berita gembira bagi seluruh rakyat negeri perak. Kami seluruh rakyat negeri Perak mendoakan semoga Allah sentiasa merahmati, memberi petunjuk dan hidayah-Nya kepada Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk menjalankan tugas baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bicara Profesional dan Apresiasi Menteri Besar bersama Warga Pendidik Daerah Hulu Perak di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, di sini hari ini.

Hari ini, Majlis Raja-Raja bersetuju memilih Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

Majlis Raja-raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

Dalam majlis yang dihadirinya, Saarani turut menyampaikan bantuan cermin mata kepada sebahagian murid dan pelajar sekolah daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Perak yang mengalami masalah penglihatan.

Menurut Yayasan Perak, secara keseluruhan seramai 1,337 murid dan pelajar menerima sumbangan itu melibatkan perbelanjaan RM228,200 dengan kos bagi sepasang cermin mata antara RM150 hingga RM250 seorang.

Program bantuan itu dinamakan sebagai YP Eye Sinar 2023 dengan sumbangan diberikan kepada murid yang memerlukan pemakaian cermin mata dalam kalangan pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6.

Menurut Yayasan Perak, pemilihan penerima dibuat berdasarkan kriteria serta syarat ditetapkan seperti dari golongan keluarga B40 dan murid yang mengalami masalah penglihatan.

“Murid yang layak dicalonkan oleh setiap 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan telah membuat pemeriksaan mata bersama 18 buah syarikat cermin mata yang dipilih bagi setiap daerah,” jelas yayasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya