PETALING JAYA: Pemergian bekas Perdana Menteri China, Li Keqiang akibat sakit jantung merupakan satu kehilangan besar kepada negara itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Li Keqiang meninggalkan satu legasi bermakna dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang perlu dikenang bersama.
Justeru, Anwar mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada isteri mendiang, Cheng Hong dan keluarga serta rakyat Republik China.
“Azizah dan saya amat berdukacita dengan pemergian Tuan Yang Terutama Li Keqiang, bekas Perdana Menteri Dewan Negara Republik Rakyat China,” katanya dalam akaun X beliau hari ini.
Bekas Perdana Menteri China yang berusia 68 tahun itu meninggal dunia akibat sakit jantung hari ini, hanya 10 bulan selepas meletakkan jawatan yang dipegangnya selama sedekad.
Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan sebagai ketua Kabinet di bawah Presiden President, Xi Jinping selama sedekad sebelum meletak jawatan pada Mac lalu.
Li Keqiang dilahirkan di wilayah Anhui, timur China, sebuah kawasan pertanian yang miskin di mana bapanya adalah seorang pegawai dan pernah bekerja di ladang semasa Revolusi Kebudayaan.
Antara ungkapannya yang diingati ialah kenyataan pada 2020 bahawa 600 juta penduduk China menerima upah kurang AS$140 sebulan, mencetuskan debat mengenai kemiskinan dan kesaksamaan gaji. -UTUSAN