Pembelaan dakwa saksi dari BNM tidak relevan

Pembelaan dakwa saksi dari BNM tidak relevan

NAJIB Tun Razak hadir ke Mahkamah Tinggi bagi menyambung perbicaraan kes 1MDB, di sini hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada mahkamah bahawa Penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan bukanlah seorang saksi yang relevan.

Peguam terbabit ingin membuat hujahan bagi menyokong dakwaannya itu termasuk kaitan laporan jejak aliran wang yang disediakan oleh saksi berkenaan.

Ketika memberi keterangan pada hari pertama iaitu pada 30 Ogos lalu, Adam Ariff menyediakan laporan jejak aliran wang setebal 76 muka surat yang menunjukkan RM2.28 bilion daripada 1MDB telah dimasukkan ke dalam dua akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Keterangan berhubung laporan itu diberikan oleh saksi berkenaan selama enam hari.

“Saksi ini sendiri menyatakan bahawa dia bukanlah seorang pakar. Dia tidak mempunyai sebarang kepakaran (untuk melakukan analisis), jadi apa yang dinyatakan tidak relevan. Keterangannya adalah berdasarkan dokumen yang boleh dianggap sebagai dengar cakap, satu pendapat. Pendapat itu juga bukan pendapat seorang pakar,” kata peguam selepas satu jam menyoal balas saksi itu.

Terdahulu, pada peringkat awal, Muhammad Shafee bertanya kepada Adam Ariff adakah beliau dipanggil memberi keterangan di mahkamah sebagai seorang pakar.

Adam Ariff menafikan bahawa beliau seorang pakar sebaliknya seorang juruanalisa yang telah dilantik bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Sebelum dilantik untuk menganggotai pasukan petugas khas menyiasat skandal penyelewengan 1MDB, Adam Ariff adalah Penganalisis Bersekutu (Associate Analyst) di BNM. Sebelum itu, beliau menjalani latihan amali di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan BNM.

Muhammad Shafee: Jadi apa yang awak lakukan selepas diberikan dokumen-dokumen perbankan oleh pegawai penyiasat ialah mengesahkan segala transaksi yang berlaku membabitkan akaun-akaun yang dinyatakan. Awak mengesan transaksi dilakukan secara `back-tracked’.

Adam Ariff: Ya.

Muhammad Shafee: Jadi kalau saya sendiri diberikan dokumen yang sama oleh pegawai penyiasat, saya juga akan memerlukan untuk memahami dan membuat laporan sama?

Adam Arif: Kalau ada pengetahuan dalam tansaksi kewangan dan analisis kewangan, boleh.

Muhammad Shafee: Jadi, perkara yang awak lakukan, bukanlah satu benda sukar dan boleh dilakukan sendiri oleh pegawai penyiasat, pembantunya atau sesiapa sahaja.

Adam Ariff: Ya.

Muhammad Shafee: Awak terima segala dokumen yang diberikan oleh pegawai penyiasat dan menerima sebagai dokumen asli, tidak diubah dan boleh diterima oleh mahkamah walaupun ada dokumen ini adalah salinan fotostat.

Adam Ariff: Ya, saya terima dengan jujur dan seadanya (in good faith).

Mendengar `permohonan’ peguam itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Muhammad Shafee agar berhujah mengenai perkara itu pada akhir kes namun peguam terbabit `bertegas’ untuk melakukan hujahan mengenai perkara itu pada prosiding hari ini.

“Awak boleh timbulkan perkara ini dalam hujahan di akhir kes. Kalau awak mengatakan bahawa saksi ini tidak relevan, jadi tiada keperluan untuk awak meneruskan soal balas berhubung jejak aliran wang ini,” kata Hakim Sequerah.

Pada ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu, saksi pendakwaan itu merupakan saksi berdasarkan fakta (witness of fact).

“Saksi pendakwaan ke-47 merupakan saksi berdasarkan fakta. Dia memberi keterangan berdasarkan fakta. Kegagalan untuk meneruskan soal balas menunjukkan (pembelaan) menerima fakta yang dinyatakan,”katanya.

Muhammad Shafee kemudian memohon sedikit masa untuk berbincang dengan pasukannya dan Najib. Selepas mahkamah berhenti rehat selama 10 minit, Muhammad Shafee memaklumkan pihaknya akan meneruskan soal balas terhadap saksi itu.

Perbicaraan bersambung petang ini. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN