KUALA LUMPUR: Masa depan sektor perubatan dalam pembedahan di peringkat global menuntut pelaksanaan idea kreatif dan inovatif khususnya meningkatkan akses kepada pembedahan selamat, berpatutan dan saksama.
Pengerusi Kumpulan Perkhidmatan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini terutamanya dalam memberikan akses prosedur rawatan perubatan itu kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar dan golongan miskin bandar.
Beliau berkata, dalam hal ini, perkongsian awam dan swasta perlu diperkukuhkan dalam memberikan latihan kepada petugas kesihatan menerusi bidang ini di peringkat rantau dan global.
“Lebih banyak idea kreatif diperlukan melalui perbincangan dalam menyelesaikan cabaran semasa dan menangani keperluan pembedahan yang tidak dapat dipenuhi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kejururawatan dan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), di sini hari ini.
Persidangan itu turut dihadiri wakil dari pelbagai negara seperti Brunei dan Singapura.
Menerusi persidangan itu, Noor Hisham sebagai bekas Ketua Pengarah Kesihatan berkongsi pengalaman dan membincangkan pelbagai isu dan cabaran pembedahan global dengan kumpulan kejururawatan dari rantau ini.
“Persidangan ini sememangnya platform yang baik untuk membawa jururawat bersama-sama dalam menangani pelaksanaan pembedahan global di rantau kita,” katanya. – UTUSAN