Pembantu kedai dipenjara enam bulan, denda RM2,500 miliki gambar, video lucah kanak-kanak - Utusan Malaysia

Pembantu kedai dipenjara enam bulan, denda RM2,500 miliki gambar, video lucah kanak-kanak

LIEW Ming Hui (tengah) didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak ketika didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Padah memiliki 19,011 gambar dan video lucah kanak-kanak yang disimpan dalam pemacu pena, seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Liew Ming Hui, 24, juga berdepan hukuman penjara lima bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan setelah tertuduh yang masih bujang itu mengaku bersalah di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga anak tunggal itu didakwa memiliki bahan pornografi iaitu satu unit ‘memory card’ (pendrive) yang mengandungi video dan gambar melibatkan kanak-kanak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Langkap di dalam daerah Hilir Perak pada pukul 4.20 petang, 29 Mei 2023.

Pendakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Jude Pereira.

Terdahulu, Pereira memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan telah insaf dan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh namun Izzuddin Fakri memohon mahkamah memberi hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Pada prosiding sama, Pereira memohon penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara pihaknya membuat rayuan, namun permohonan itu ditolak dan mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dia disabitkan bersalah, hari ini.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Langkap.

Hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis membuat rampasan barang kes iaitu sebuah komputer riba, satu unit adaptor komputer dan satu unit pemacu pena.

Berdasarkan siasatan, didapati terdapat sebanyak 19,011 dokumen melibatkan video dan gambar kanak-kanak pornografi di dalam pemacu pena yang dirampas di tempat tinggal dan juga dalam milikan tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN