TRANG, THAILAND: Pembangunan eko pelancongan di negeri ini khususnya di Wang Kelian perlu dilakukan secara strategik dengan mengambil kira tujuh nod pelancongan yang terdapat di kawasan berkenaan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara tempat tumpuan di lokasi pelancongan itu adalah seperti View Point Wang Kelian, spesies unik beruk kentoi dan Ladang Nanas MD2.
Titah baginda, View Point Wang Kelian antaranya menawarkan panorama pemandangan dengan awan karpet manakala kentoi pula hanya boleh ditemukan di lokasi berkenaan selain daripada sejarah Tok Putih di Kampung Wang Kelian.
“Selain itu, Taman Negeri Perlis juga turut menyimpan keunikan flora, fauna dan geologi yang merupakan taman negeri pertama ditubuhkan di Malaysia. Antara lain, arked niaga Wang Kelian yang baharu sahaja mula dibuka kembali dan ICQS Wang Kelian yang menjadi pintu sempadan kedua terpenting di Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Perlis Food Promotion di Restoran Somtham Na Por di Trang, Thailand,hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor: Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawan) MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Baginda menambah, pembangunan di View Point Wang Kelian juga perlu mengambil kira aspek pembangunan yang mampan dan mesra pengguna serta kurang impak kepada alam sekitar.
“Ia sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa tempat di luar negara yang boleh dicontohi antaranya di Entoto Park Addis Ababa, Ethiopia yang baru sahaja dikunjungi oleh saya beberapa bulan yang lalu,” titah baginda.-UTUSAN