KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang mendakwa keliru dan kurang jelas dengan Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan belanjawan itu tidak menunjukkan insentif yang ketara untuk ke arah meransang ekonomi terutama di peringkat bawah.
“Apa kita tengok begitu ketara adalah perbelanjaan mengurus (dan) membangun semakin turun sebanyak RM18 bilion walaupun keseluruhan belanjawan ini meningkat iaitu daripada RM388 bilion hingga RM395 bilion tetapi perbelanjaan pembangunan turun RM7 bilion.
“Ertinya, situasi ekonomi atau kewangan negara ini berada dalam situasi yang agak kritikal dan kerajaan terpaksa menumpukan perhatian kepada mengurus, bukan membangun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mengakui keliru dengan pembentangan Belanjawan 2024 yang disifatkan kurang jelas.
“Saya agak keliru kerana ia banyak mengenai rasionalisasi subsidi, tetapi tidak ada soal cukai barang dan perkhidmatan (GST), kita juga menunggu apakah ia dibuat mengikut perkiraan pertimbangan harga minyak?
“Ini kurang jelas. Kita juga tertanya cukai barang mahal, ini belum jelas sampai sekarang. Macam mana dengan Tesla, barang mahal, jam tangan, beg, serta produk-produk lain.
“Jadi banyak lagi perlu dibahaskan, paling penting pelaksanaan. Masih terlalu awal dan terlalu banyak isu masih tergantung, kita perlukan jawapan dan saya tak boleh mengkritik secara rapi selagi mana tidak mendengar ulasan kementerian terbabit,” katanya. – UTUSAN