Pembakaran terbuka bukan punca jerebu di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Pembakaran terbuka bukan punca jerebu di Pulau Pinang

NORAZIZI Adinan (dua dari kiri) sewaktu merasmikan Karnival Larangan Pembakaran Terbuka JAS Pulau Pinang di Kompleks Sukan MBSP, di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Situasi jerebu yang melanda seluruh negeri ini sejak kebelakangan ini bukan disebabkan oleh pembakaran terbuka.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Norazizi Adinan berkata, ia berpunca daripada pergerakan angin yang membawa asap dari sumber luar.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua Stesen Pengawasan Kualiti Udara di Seberang Perai dan Seberang Jaya merekodkan bacaan sederhana (51-100).

“Kebiasaannya, bacaan IPU di kawasan terbabit memang agak tinggi antara 50 sehingga 60 kerana ia membabitkan kawasan perindustrian dan laluan kenderaan.

“Kawasan ini agak padat dengan pencemaran udara, namun masih berada pada tahap sederhana berbanding kawasan lain di negeri ini.

“Sekiranya ada faktor luaran yang menambah kepada situasi jerebu ini, maka IPU akan cepat sampai ke bacaan 100, tetapi kita akan berusaha memastikan keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Larangan Pembakaran Terbuka JAS Pulau Pinang di Kompleks Sukan MBSP, di Bertam, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini tiada titik panas pembakaran terbuka direkodkan kecuali satu amaran palsu (false alarm) yang dikesan melalui satelit membabitkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Bukit Minyak.

“Selain itu, kita terima sebanyak 774 aduan berkaitan pencemaran dan 376 daripadanya membabitkan pembakaran terbuka.

“Walau bagaimanapun, pembakaran terbuka yang diadukan sebahagian besarnya berpunca daripada kejiranan sendiri dan bukan disebabkan oleh pertanian.

“Justeru, kita akan terus menasihati masyarakat setempat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada bacaan IPU tidak sihat,” katanya.

Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim tidak menerima sebarang laporan kebakaran besar dalam negara yang boleh dikaitkan dengan keadaan berjerebu ketika ini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata laporan kebakaran hutan besar-besaran kali akhir diterima kementerian ialah pada Mei lalu, namun jerebu yang melanda ketika ini berpunca dari negara luar berdasarkan data diperoleh JAS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya