KEMAMAN: Pemandu pacuan empat roda yang merempuh motosikal yang ditunggang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11, Jalan Chukai-Air Putih, berdekatan Sungai Pinang, di sini malam tadi, direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 35 tahun itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi memboleh pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan yang berlaku kira-kira pukul 8.20 malam tadi, Muhammad Haziq Akif Zulkifli, 14, meninggal dunia ekoran kecederaan parah di kepala dan badan.
“Dalam kejadian tersebut, suspek yang juga seorang juruteknik dipercayai memotong sebuah kereta jenis Proton Wira di hadapannya di sebuah selekoh ketika dalam perjalanan dari arah Air Putih menghala ke Bandar Chukai.
“Dalam masa yang sama, suspek gagal mengelak dan merempuh motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang Muhammad Haziq Akif dari arah hadapan di laluan bertentangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Hanyan berkata, pelanggaran itu menyebabkan pacuan empat roda tersebut terbabas ke bahu jalan sebelah kanan sebelum dilanggar Proton Wira dari arah belakang.
“Mangsa yang meninggal di lokasi kejadian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Kita menahan pemandu pacuan empat roda ini untuk membantu siasatan dan ujian urin ke atas lelaki tersebut negatif dadah,” katanya. – UTUSAN