Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 pacu ekonomi

Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 pacu ekonomi teknologi mapan – Premier Sarawak

ABANG Johari Tun Openg (tengah) melancarkan buku Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, di Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia (WCIT) ke-27 2023 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-6 (IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak komited mentransformasikan ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mapan menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan komprehensif itu dirangka berdasarkan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022 yang sedia ada serta bertindak sebagai fungsi asas Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS2030). 

“Pelan Tindakan ini akan berfungsi sebagai satu dokumen berpandukan perubahan landskap keseluruhan ekonomi dan masyarakat daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi yang mapan.

“Oleh itu, objektif ditetapkan bertujuan bagi memastikan Sarawak tidak akan ketinggalan kerana kebanyakan negara membangun sudah berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dan memastikan Sarawak berada di landasan untuk menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian ketika berucap di Kongres Teknologi Dan Inovasi Dunia (WCIT) ke-27 2023 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-6 (IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Selain itu, dedah Abang Johari, matlamat utama Pelan Tindakan itu juga adalah memberi inspirasi kepada golongan perniagaan untuk menghasilkan idea baharu, mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan model perniagaan kontemporari. 

“Ia juga bertujuan untuk membantu orang ramai menggunakan kemahiran mereka untuk berkembang dalam dunia digital dan mencipta sistem di mana semua orang boleh mendapat manfaat daripada ekonomi digital.

“Sehubungan itu, Sarawak berhasrat menjadi negeri pertama menguasai ekonomi digital di rantau ini menjelang 2030, sekali gus memastikan pertumbuhan memberi manfaat kepada semua orang, dalam pada masa yang sama tidak membahayakan alam sekitar dan dicapai dengan cara yang inklusif dan bertanggungjawab,” tegasnya lagi. 

Justeru, Abang Johari menambah tindakan dan keputusan diambil Sarawak hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan generasi kini dan akan datang serta negara secara keseluruhannya. 

“Sarawak menjalinkan hubungan perdagangan antarabangsa sejak beberapa tahun dengan rakan dagang utama di Asia dan Eropah. Aspirasi Sarawak adalah apabila menjelang 2030, masyarakat di Sarawak akan berkembang maju didorong oleh kepintaran terhadap penguasaan data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mapan. 

“Ini akan menandakan laluan untuk meletakkan diri kita secara strategik sebagai rantau yang berdaya saing dalam era baharu ini. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi mesti diseimbangkan dengan kemapanan alam sekitar dan Sarawak tidak dinafikan berdepan dua cabaran untuk memanfaatkan potensi ekonominya dengan matlamat ekonomi global dan alam sekitar yang lebih luas,” kata Abang Johari. 

WCIT/IDECS 2023 diadakan selama tiga hari bermula hari ini (4 Oktober 2023) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Acara berprestij ini menghimpunkan lebih 10,000 pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan usahawan dari seluruh dunia untuk meneroka perkembangan terbaharu dalam dunia teknologi, inovasi dan ekonomi digital dan kesannya terhadap trend, teknologi dan model perniagaan.

Acara pada tahun ini akan menyentuh dua tema iaitu ‘Memenuhi Janji Era Digital: Inovasi dan Teknologi Memacu Kemakmuran Ekonomi, Keterlibatan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’ dan ‘Memajukan Ekonomi Digital untuk Pembangunan Mapan.’

Antara topik utama yang menjadi tumpuan kali ini ialah kecerdasan buatan (AI), bandar pintar, IoT, keselamatan siber, 5G, teknologi angkasa dan syarikat permulaan dan inkubator.

Selain itu, acara itu juga akan menampilkan program dan acara komprehensif yang terdiri daripada persidangan, pameran, kelas Bandar Pintar, Kampung Startup, Persidangan Meja Bulat Pemimpin Global, dan sesi padanan perniagaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN