Pelakon lelaki kena ada asas seni bela diri untuk nampak 'jantan' - Wanji Aswandi - Utusan Malaysia

Pelakon lelaki kena ada asas seni bela diri untuk nampak ‘jantan’ – Wanji Aswandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon berpengalaman, Wanji Aswandi tidak menafikan bahawa industri drama dan perfileman tempatan semakin kekurangan pelakon lelaki baharu yang menyerlah sifat kejantanannya.

Katanya, keadaan itu mungkin sekali disebabkan modul seni bela diri yang sebelum ini menjadi sebahagian modul yang diajar kepada pelakon yang mengikuti kursus lakonan di universiti kini telah dimansuhkan.

“Dulu, seni bela diri memang diajar kepada pelajar yang mengikuti kursus asas lakonan. Bagaimanapun, ia telah dimansuhkan sejak tahun 2005.

“Seorang pelakon (lelaki) kena pelajari seni bela diri sebab perkara itu akan membentuk gesture tubuh yang betul bagi lelaki sekaligus menyerlahkan kejantanannya.

“Contoh Eman Manan yang memang belajar silat ketika beliau membesar di kampungnya dahulu. Ini bermaksud seni bela diri, tak kira jenis apa sekalipun, penting untuk pelakon lelaki,” katanya.

Kata Wanji lagi, masalah paling ketara dalam proses pencarian pelakon lelaki masa kini adalah apabila pelakon-pelakon berkenaan sekadar dipilih berdasarkan wajah dan penampilan tanpa mengambil kira aspek ‘kejantanan’ yang sebenarnya perlu ada pada setiap pelakon lelaki.

“Kelemahannya adalah pabila asas pencarian (pelakon) berpaksikan ketampanan, ibarat mencari model lelaki walhal ia lebih daripada itu. 

“Sekarang ini saya belum nampak lagi mana-mana pelakon baru yang ada kejantanan itu. Kebanyakannya ‘jambu’. Budak sekarang leweh, lontaran suara pun agak lembik, garaunya tak keluar. 

“Perkara inilah yang membuatkan elemen maskulin sesebuah karya atau naskhah itu menjadi samar-samar,” ujarnya.

JANGAN MAIN HENTAM

Dalam masa yang sama, pelakon filem Pagari Bulan ini lantang menegur pelakon baru yang tidak berilmu, hanya bersandarkan rupa dan populariti di media sosial untuk masuk dunia drama dan perfileman.

Katanya, trend mengambil Instafamous atau influencer tak berilmu dan berbakat dalam  lakonan adalah perkara tidak sihat yang merosakkan industri.

“Trend sekarang, asal kacak dan cantik, boleh jadi pelakon. Influencer yang diambil berlakon kebanyakannya bermasalah di set. Mereka tak berpengalaman, tak berpengetahuan dan popular sahaja.

“Lakonan ada ilmunya, jangan main hentam sahaja. Nak jadi pelakon memerlukan masa yang lama. 

“Saya menuntut di Indonesia antara 2001 hingga 2008, balik Malaysia pun bukan terus masuk industri seni, buat teater dulu lima tahun. 

“Malah sampai sekarang saya masih belajar berlakon, siap-siapkan diri. Pergi ke Australia dan ambil kelas lakonan. Proses nak jadi pelakon memang panjang, bukan hari ini berkeinginan, esok dah masuk industri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Wanji juga memohon agar stesen televisyen dan penerbit membuka perspektif lebih luas dalam memilih pelakon untuk drama atau filem.

“Jangan terlalu berpaksikan media sosial, asal followers ramai terus diambil berlakon. Pengikut media sosial boleh dibeli, bakat dan pengalaman tidak,” katanya lagi.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN