LOS ANGELES: Pelakon siri popular Friends, Matthew Perry, 54, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Pacific Palisades di sini, dipercayai akibat lemas selepas ditemukan dalam jakuzi di kediamannya itu.
Memetik laporan portal hiburan antarabangsa, tiada bahan terlarang ditemukan di lokasi tersebut atau sebarang perkara yang mencurigakan sebelum Perry menghembuskan nafas terakhirnya.
Menurut jurucakap Polis Los Angeles, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai kematian seorang lelaki berusia 50-an, namun identiti mangsa tidak dimaklumkan.
“Polis mengesahkan kematian Perry tiada kaitan dengan unsur jenayah. Panggilan dibuat mengatakan penghuni rumah itu mengalami serangan jantung,” lapor portal tersebut.
Sementara itu, wakil mendiang Perry dipercayai belum memberi sebarang kenyataan berhubung pemergian pelakon yang popular menerusi watak Chandler Bing itu.
Pelakon popular itu mula menikmati populariti secara global menerusi siri sitkom popular Friends, yang bertahan selama 10 musim sejak 1994.
Watak Chandler turut membawa Perry ke puncak kejayaan apabila dicalonkan pada Anugerah Primetime Emmy pada 2002.
Perry sebelum ini dilaporkan menjalani program pemulihan sebanyak 17 kali bermula 1997 selepas berdepan masalah ketagihan arak dan dadah.