Pelajar tunggang motosikal maut dirempuh pacuan empat roda - Utusan Malaysia

Pelajar tunggang motosikal maut dirempuh pacuan empat roda

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhamad Haziq Akif Zulkifli selepas dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 11, Jalan Chukai-Air Putih, berdekatan Sungai Pinang, Kemaman, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 11, Jalan Chukai-Air Putih, berdekatan Sungai Pinang, di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira 8.20 malam, Muhammad Haziq Akif Zulkifli, 14, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa sedang dari arah Chukai menghala ke Air Putih, manakala pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax dan sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan. 

“Ketika kejadian, pacuan empat roda yang dipandu seorang juruteknik berusia 35 tahun itu cuba memotong Proton Wira di jalan selekoh dari arah Air Putih, menghala ke Bandar Chukai. 

“Dalam masa yang sama, datang motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang Muhammad Haziq Akif dari arah hadapan, menyebabkan pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak dan terus merempuh motosikal tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Hanyan berkata, pelanggaran itu menyebabkan pacuan empat roda tersebut terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan tidak lama kemudian datang Proton Wira dari arah belakang melanggar kenderaan tersebut.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, manakala pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. 

Hanyan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya