Pekerja am rogol anak disambung reman - Utusan Malaysia

Pekerja am rogol anak disambung reman

SEORANG pekerja am yang disyaki merogol anak perempuannya disambung reman oleh Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Perintah reman terhadap seorang pekerja am yang disyaki merogol anak perempuannya berusia 13 tahun di daerah ini disambung tujuh hari lagi, bermula hari ini.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 36 tahun itu ditahan polis pada Khamis lepas dan direman selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, setakat ini, seramai enam individu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kita akan rujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita telah panggil enam individu memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hanyan berkata, perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas anaknya mengadu kepada jiran mereka, sebelum laporan polis dibuat.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut telah dirujuk ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan berdasarkan laporan perubatan, terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN