PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Nepal mengesahkan kematian pegawainya iaitu K. Parthiban,38, yang meninggal dunia semasa pendakian ke Everest Base Camp (EBC).
Wisma Putra berkata, mendiang meninggal dunia hari ini pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) di Gorak Shep.
“Pada masa ini, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang menguruskan untuk membawa turun jenazah dari Gorak Shep ke Kathmandu untuk dibedah siasat di Hospital Teaching, Kathmandu.
“Jenazah mendiang akan dibawa pulang ke Malaysia selepas segala urusan bedah siasat dan dokumentasi selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata, pihaknya juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.
“Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu juga akan membantu dalam pengurusan jenazah mendiang untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN