GEORGE TOWN: Mana-mana pegawai dan anggota polis yang terlibat dengan isu berkaitan integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun kes belum dituduh.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tindakan itu merupakan persetujuan kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan isu integriti, salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis masih lagi berleluasa.
Kok Chin berkata, ia juga merupakan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain semasa Mesyuarat Ketua Polis Negara, 5 Oktober lalu.
“Antara amanat yang disampaikan adalah arahan Ketua Polis Negara semasa Mesyuarat IG Update pada 5 Oktober lalu yang mana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan tidak akan bertolak ansur terhadap pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis yang terlibat dalam salah laku seperti kejadian jenayah dan dadah.
”Kepimpinan tertinggi PDRM telah bersetuju untuk mana-mana pegawai yang terlibat dengan integriti seperti rasuah dan dadah akan ditahan kerja walaupun kes belum dituduh,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Kontijen Pulau Pinang dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang Bagi Bulan Oktober, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kok Chin turut menegaskan tentang Peraturan 3C iaitu Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kelakuan Tatatertib 1993.
Tegas beliau, semua Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis yang memegang jawatan sebagai penyelia bermula dari pucuk pimpinan sehingga ke bawah akan dipertanggungjawabkan sekiranya gagal untuk melaksanakan peraturan 3C.
“Semua pihak perlu konsisten, berani dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan 3C bagi memastikan kita dapat membuat perubahan yang berkesan ke atas isu integriti dan salah laku dalam PDRM,” katanya.
Tambahnya, beliau mahu warga PDRM khususnya Kontinjen Pulau Pinang bekerja secara berpasukan dan harmoni.
“Semua Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Ketua Formasi dan semua warga PDRM Pulau Pinang perlu mengekalkan dan meningkatkan peranan serta tanggungjawab masing-masing.
”Perkhidmatan PDRM kepada masyarakat menjadi keutamaan kita, bekerja bersama-sama supaya penyampaian perkhidmatan yang diberikan mampu memenuhi ‘expectation’ seperti yang diharapkan oleh masyarakat serta pucuk pimpinan PDRM,” katanya.
Sementara itu, katanya, negara berada dalam fasa peralihan monsun yang akan membawa hujan lebat dan PDRM perlu membuat persediaan sekiranya berlaku bencana banjir.
”Oleh itu, semua Ketua Polis Daerah, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam serta Ketua Polis Balai perlu mengenal pasti setiap keperluan, menentukan kawasan hotspot yang terlibat dengan banjir dan hendaklah membuat persiapan awal dari segi kekuatan anggota, kelengkapan aset logistik seperti bot, peralatan menyelamat dan juga Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya. – UTUSAN