PETALING JAYA: Insentif dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memastikan tatakelola kewangan terbaik demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan rakyat.
Beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan dan insentif yang dibentangkan Perdana Menteri.
Katanya PDRM menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan-peruntukan yang bakal dinikmati secara langsung oleh warga PDRM.
Antara peruntukannya ialah sebanyak RM19 bilion yang diberikan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkukuh ketenteraman awam dan menjamin keamanan serra keselamatan negara.
Selain itu, peruntukan RM20 juta kepada National Scam Response Centre (NSRC) berbanding RM10 juta tahun lalu bagi meningkatkan lagi fungsi jabatan tersebut membanteras jenayah scam.
“Penggantian aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang Twin Engine dan lima helikopter ringan PDRM bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
“Selain itu, sebanyak RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awamm termasuk yang diduduki warga PDRM,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Razarudin, peruntukan lain adalah sebanyak RM5 juta oleh kerajaan bagi menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Peruntukan RM60 juga turut diberikan bagi pelantikan renjer komuniti dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat
“Bayaran Insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera dan anggota bersenjata serta seluruh anggota beruniform,” katanya.
Tambah beliau, bayaran insentif sebanyak RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
“Liputan skim ex-gratia bencana kerja juga ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.
“Terakhir sekali, pemberian ganjaran untuk agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang,” katanya. – UTUSAN