PDRM Lipis adakan latihan menyelamat, persediaan hadapi banjir

PDRM Lipis adakan latihan menyelamat, persediaan hadapi banjir

AZLI MOHD NOOR (depan) mengetuai latihan pengendalian bot/enjin sangkut di Sungai Yong berdekatan Kampung Tanjung Buloh, Lipis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Polis dan pihak berkuasa beruniform daerah ini bersiap-siaga untuk berdepan musim banjir penghujung tahun ini dengan membuat persediaan rapi menerusi program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) bersama penduduk di pesisir Sungai Yong, berdekatan Kampung Buloh dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, latihan tersebut melibatkan seramai 116 orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Hospital Lipis dan penduduk setempat serta bantuan 13 buah bot.

“Latihan ini bertujuan memberikan pendedahan penduduk di pesisir Sungai Jelai dan Sungai Yong daerah ini mengenai keselamatan ketika mengendalikan bot/enjin sangkut dan peralatan menyelamat ketika membantu mangsa banjir.

“Hal ini juga mencakupi latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepada penduduk pesisir Sungai Jelai dan Sungai Yong di Tanjong Buloh mengenai teknik yang betul menyelamat ketika berlaku kejadian serta langkah yang perlu diambil sebelum bantuan tiba,” katanya di Kampung Tanjung Buloh dekat sini hari ini.

Azli yang juga Ketua LDP daerah berkata, antara latihan lain iaitu simulasi teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) atau  prosedur penyelamat kecemasan kepada mangsa banjir didedahkan kepada semua anggota beruniform dan penduduk setempat.

Beliau berkata, LDP akan diteruskan dalam tempoh ini melibatkan anggota PDRM dan agensi penyelamat bersama penduduk di pesisir Sungai Jelai, Sungai Lipis dan Sungai Tanum kawasan Cheka dan Benta.

Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Tanjung Buloh, Najid Abu berkata, usaha PDRM bersama anggota pihak berkuasa beruniform lain mengadakan latihan di sungai tersebut cukup signifikan ke arah persediaan menghadapi musim tengkujuh bagi penduduk berkenaan.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu lazimnya antara tanda awal musim tengkujuh, manakala latihan kemahiran keselamatan serta menyelamat perlu dititip antara usaha awal sekiranya dikhuatiri air Sungai Jelai naik mendadak dan membanjiri kawasan penempatan,” ujarnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya