PDC diarah sedia kertas kerja tambah baik proses jual tanah - Utusan Malaysia

PDC diarah sedia kertas kerja tambah baik proses jual tanah

CHOW Kon Yeow (tengah) menunjukkan logo sempena sambutan Miao Hui 2024 dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) diarahkan menyediakan kertas kerja bagi mengkaji semula proses penjualan tanah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan bagi menambah baik proses tersebut.

Pengerusi PDC, Chow Kon Yeow berkata, arahan itu dibuat supaya pihak pengurusan dapat memperhalusi semua kaedah-kaedah yang ada sekali gus mengelakkan wujud pertikaian atau kelemahan dalam projek-projek membabitkan agensi tersebut.

”Pengurusan PDC diarahkan menyediakan kertas kerja bagi mengkaji semula proses penjualan tanah untuk projek-projek yang akan dilaksanakan di atas tanah PDC sebab kita ingin menambah baik proses berkenaan.

”PDC memang melaksanakan beberapa kaedah untuk urus niaga tanah PDC sama ada melalui tender terbuka, permintaan bagi cadangan (RFP) atau melalui rundingan terus dengan pihak berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Kon Yeow mengulas isu yang dibangkitkan Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC) berkaitan dengan penjualan tanah di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan kepada syarikat UMECH Construction Sdn. Bhd. (UMECH).

Menerusi sidang akhbar hari ini, PCCC meminta Kon Yeow menjelaskan bagaimana proses penjualan tanah berlaku, siapa di pihak PDC yang memberikan kelulusan dan siapa yang memberi kuasa untuk menandatangani proses tersebut.

Pelbagai pihak sebelum ini termasuk PCCC telah mempersoalkan mengenai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan kepada syarikat UMECH Construction Sdn Bhd (UMECH).

Susulan pelbagai isu berhubung penjualan tanah itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn. Bhd. dengan memberikan notis tiga bulan.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri berkata, kertas kerja itu perlu disiapkan secepat mungkin supaya boleh dibentangkan kepada Lembaga PDC dalam mesyuarat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada pihak-pihak yang memberi cadangan untuk menambah baik prestasi kerajaan negeri atau GLC.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menafikan dakwaan PCCC bahawa beliau tidak menjawab persoalan-persoalan yang di bangkitkan dewan berkenaan mengenai penjualan tanah itu.

“Saya adalah Pengerusi PDC, saya menjawab persoalan yang dibangkitkan PCCC menerusi jawapan yang diberikan PDC, jadi tidak benar dakwaan saya tidak menjawab persoalan mereka.

“Seperti mana saya cakap rujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga PDC, itulah ketetapan yang dibuat mesyuarat lembaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya