PBB tubuh jawatankuasa teliti penambahan kerusi Parlimen

PBB tubuh jawatankuasa teliti penambahan kerusi Parlimen selaras MA63

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi meneliti cadangan  penambahan kawasan Parlimen baharu di negeri berkenaan selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg membangkitkan  cadangan tersebut untuk mewujudkan beberapa kawasan sudah pun diusulkan.

“Kita memang sedang mengkaji untuk memohon penambahan kawasan Parlimen di Sarawak, bukan sahaja di kawasan Betong tetapi seluruh Sarawak.

“Justeru akan ada satu jawatankuasa di peringkat Parti PBB untuk permohonan memandangkan keputusan akhirnya dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita memohon supaya dipertimbangkan penambahan kawasan parlimen baharu selaras MA63,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir merasmikan Konvensyen Khas PBB Zon Betong 2023 di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, di Betong, semalam.

Selain usul berkenaan, satu lagi yang penting adalah dua pertiga dalam parlimen.

“Dalam Laporan Antara Kerajaan (IGC) memang tidak disebut dua pertiga, tetapi disebut suara Sarawak dan Sabah mesti diambil kira di dalam parlimen.

Malah, pengenalan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, pun ada,” ujarnya.

Usul penambahan kawasan Parlimen itu dikemukakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen khas berkenaan.

Julaihi dalam usul berkenaan berkata, penambahan kawasan Parlimen di Sarawak itu selaras dengan hasrat membolehkan Sabah dan Sarawak mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan jumlah kawasan Parlimen di Malaysia.

Menurut Julaihi, Sarawak harus dipertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu dengan bahagian Betong sahaja perlu ada tiga kawasan.

Sarawak ketika ini mempunyai 31 kerusi Parlimen dan pembentukan kawasan baharu itu perlu dalam memastikan pengagihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak agar Semenanjung tidak dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti termaktub dalam MA63.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya