IPOH: Projek pembinaan bangunan sementara Pasar Pasir Pinji bernilai RM1.54 juta dijangka siap pada Februari 2024.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembinaan pasar itu bermula 5 September lalu melibatkan peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebanyak RM1 juta dan RM54,000 daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Katanya, kesemua peniaga akan berpindah ke pasar sementara tersebut pada bulan Mac tahun hadapan.
“Bagi pembinaan pasar baharu Pasir Pinji pula, proses lantikan perunding sedang dijalankan dan dijangka selesai pada bulan hadapan.
“Perunding yang berjaya akan menyiapkan reka bentuk pasar baharu dalam tempoh tiga bulan selepas lantikan, seterusnya proses tender bagi pelantikan kontraktor akan bermula Februari 2024.
“Pelaksanaan projek pembinaan pasar baharu ini dijadual bermula April tahun hadapan dengan tempoh pelaksanaan mengambil masa 24 bulan dan dijangka siap pada Mac 2026,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Menurut Kor Ming, pasar Pasir Pinji yang berusia lebih 50 tahun merupakan pasar lama yang uzur dan daif dengan menempatkan seramai 178 peniaga.
Katanya, sebanyak 187 lot perniagaan akan disediakan di pasar baharu dengan memberi keutamaan pelesen sedia ada selain turut memberi peluang kepada permohonan baharu.
“Pembangunan semula pasar awam ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar, perkhidmatan awam yang berkaitan dan menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung,” katanya. – UTUSAN