KUALA NERUS: Sepasang kembar seiras teruja apabila melakar detik istimewa mendaftarkan diri sebagai pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi sesi akademik 2023 di sini, hari ini.
Ling An, 20, dan pasangan kembarnya, Ling Qin adalah antara 2,200 pelajar baharu yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi pendaftaran kali ini.
Ling An yang mengambil jurusan Sarjana Muda Perakaunan berkata, UMT bukan institusi asing bagi dirinya kerana abang kembarnya adalah pelajar Diploma Perikanan universiti itu sebelum ini.
“Berdasarkan ceritanya mengenai kelebihan UMT, saya sangat teruja untuk memohon belajar di universiti ini kerana persekitaran kampus yang cantik dan barisan pensyarah yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui di UMT, di sini, hari ini.
Tambahnya, impian mereka berdua adalah untuk meraih kecemerlangan dan berazam untuk memakai selempang emas pada majlis konvokesyen akan datang seterusnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi jika diberi peluang.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, UMT telah mengagihkan sejumlah RM314,000 dana zakat kepada 628 pelajar baharu yang mendaftar pada sesi 2023/2024 kali ini.
Menurutnya, setiap pelajar terpilih daripada program Asasi STEM, Diploma dan Sarjana Muda menerima RM500 seorang sebagai bantuan memulakan pengajian di UMT.
“Dana zakat tersebut adalah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui skim potongan gaji kakitangan UMT, Etiqa Family Takaful Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Rakyat.
“Kesemua sumbangan dan agihan ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT melalui skim bantuan zakat kecemerlangan kepada pelajar dalam asnaf fakir dan miskin,” katanya. – UTUSAN